Sunday, March 21, 2010

ULASAN 'LEARNING OUTCOME 6'

Pendidikan khas bukan sahaja perlu diketahui oleh mereka yang terlibat bersama golongan dengan keperluan khas, malahan juga oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya para ibu bapa dan guru di sekolah. Ini penting bagi membantu para guru dan ibu bapa mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menghadapi masalah dalam pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan faktor-faktor tertentu.

Tanpa pengetahuan tentang pendidikan khas, dengan mudah sahaja lontaran stigma diberi kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pem-belajaran.

Timbul berbagai-bagai istilah negatif yang bukan sahaja menyebabkan murid patah semangat belajar tetapi menjurus kepada masalah yang lebih besar, terutamanya masalah disiplin. Kanak-kanak juga dilabelkan sebagai bodoh, malas, degil, tidak mahu mengikut arahan walhal terdapat keadaan dalaman yang menyebabkan kanak-kanak tidak dapat mencapai apa yang diharap oleh pelbagai pihak.

Guru memainkan peranan penting dengan membantu mengenal pasti murid dengan masalah pembelajaran agar mereka tidak terus ketinggalan. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor, dan persatuan bagi membantu murid berkenaan. Saringan yang dilakukan oleh guru pada peringkat awal mungkin dapat membantu murid untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya merancang kaedah P&P yang terbaik untuk murid tersebut. Perancangan yang sepatutnya perlu dibuat untuk membantu murid menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya pembelajaran,dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajarinya. Guru juga perlu menunjukkan perasaan kasih sayang dan penghormatan terhadap murid tersebut. Mereka akan berasa bahawa mereka penting dan merupakan komuniti dalam sesuatu sesi pembelajaran.

Selain guru, ibu bapa adalah individu yang sangat penting dalam kehidupan murid ini. Jangan sesekali berasa kecewa kerana mempunyai anak yang bermasalah dalam pembelajaran tetapi anda perlu bangkit dan berusaha menyakinkan mereka bahawa mereka juga mampu berjaya seperti anak-anak yang lain. Adalah amat mengecewakan apabila ada sebilangan ibu bapa yang berasa malu dan cuba menidakkan kehadiran anak mereka ini. Cubalah berbincang dengan pelbagai lain,khususnya guru agar tindakan yang sewajarnya boleh dilakukan.

Selain itu, pelbagai pihak lain juga diharapkan agar membuka mata dan tidak lagi memandang serong kepada murid yang bermasalah pembelajaran seperti diskalkulia dan dislexia ini.

No comments:

Post a Comment