Monday, March 22, 2010

Sunday, March 21, 2010

ULASAN 'LEARNING OUTCOME 6'

Pendidikan khas bukan sahaja perlu diketahui oleh mereka yang terlibat bersama golongan dengan keperluan khas, malahan juga oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya para ibu bapa dan guru di sekolah. Ini penting bagi membantu para guru dan ibu bapa mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menghadapi masalah dalam pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan faktor-faktor tertentu.

Tanpa pengetahuan tentang pendidikan khas, dengan mudah sahaja lontaran stigma diberi kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pem-belajaran.

Timbul berbagai-bagai istilah negatif yang bukan sahaja menyebabkan murid patah semangat belajar tetapi menjurus kepada masalah yang lebih besar, terutamanya masalah disiplin. Kanak-kanak juga dilabelkan sebagai bodoh, malas, degil, tidak mahu mengikut arahan walhal terdapat keadaan dalaman yang menyebabkan kanak-kanak tidak dapat mencapai apa yang diharap oleh pelbagai pihak.

Guru memainkan peranan penting dengan membantu mengenal pasti murid dengan masalah pembelajaran agar mereka tidak terus ketinggalan. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor, dan persatuan bagi membantu murid berkenaan. Saringan yang dilakukan oleh guru pada peringkat awal mungkin dapat membantu murid untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya merancang kaedah P&P yang terbaik untuk murid tersebut. Perancangan yang sepatutnya perlu dibuat untuk membantu murid menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya pembelajaran,dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajarinya. Guru juga perlu menunjukkan perasaan kasih sayang dan penghormatan terhadap murid tersebut. Mereka akan berasa bahawa mereka penting dan merupakan komuniti dalam sesuatu sesi pembelajaran.

Selain guru, ibu bapa adalah individu yang sangat penting dalam kehidupan murid ini. Jangan sesekali berasa kecewa kerana mempunyai anak yang bermasalah dalam pembelajaran tetapi anda perlu bangkit dan berusaha menyakinkan mereka bahawa mereka juga mampu berjaya seperti anak-anak yang lain. Adalah amat mengecewakan apabila ada sebilangan ibu bapa yang berasa malu dan cuba menidakkan kehadiran anak mereka ini. Cubalah berbincang dengan pelbagai lain,khususnya guru agar tindakan yang sewajarnya boleh dilakukan.

Selain itu, pelbagai pihak lain juga diharapkan agar membuka mata dan tidak lagi memandang serong kepada murid yang bermasalah pembelajaran seperti diskalkulia dan dislexia ini.

Saturday, March 20, 2010

ULASAN ' LEARNING OUTCOME 5'

Terdapat pelbagai kaedah baru sebagai P&P khas untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran seperti Dyslesia dan Dyscalculia.Diantaranya kita boleh mengintegrasikan penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tedapat banyak software,produk mahupun 'games online' yang telah direkacipta khas untuk kanak-kanak ini. Selain itu kaedah multisensory juga amat baik untuk menjana pemikiran yang kreatif di kalangan murid ini. Penggunaan pelbagai warna,alat muzik dan aktiviti tang melibatkan penglibatan aktif akan embuatkan murid bermasalah pembelajaran ini mudah untuk menguasai sesuatu topik.

Seperti yang diketahui,guru adalah individu yang paling rapat dengan murid,bahkan dalam sesetengah kes guru lebih memahami murid bermasalah pembelajaran seperti diskalkulia ini lebih daripada ibu bapa sendiri.Adalah penting juga bagi guru untuk memahami masalah murid dari peringkat awal seperti tidak mampu untuk memahami konsep asas nombor.Gunakanlah pelbagai material dan kaedah terkini yang ada untuk membantu murid ini.Dengan berkat usaha guru tidak mustahil murid ini mampu berjaya seperti murid normal yang lain.

Sebagai guru, kita hendaklah cuba menyelami dunia kanak-kanak bermasalah ini,cuba untuk berfikir dengan cara pemikiran mereka supaya kita memahami apa sebenarnya yang diperlukan oleh kanak-kanak ini dalam proses pembelajaran.

PENULISAN ILMIAH / ULASAN 'LEARNING OUTCOME 4'

Pendahuluan
Pendidikan untuk semua menegaskan tentang hak semua kanak-kanak untuk diberi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut. Keperluan untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu daripada tanggungjawab sosial yang penting dalam masyarakat. Individu berkeperluan khas yang berada dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Disleksia, Autisme, Perkembangan Lewat, Hiperaktif dan sebagainya.
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.
Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti murid-murid lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membantu kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran.
Kurikulum Kebangsaan tidak dapat memenuhi keperluan murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Ini adalah kerana tahap pencapaian pendidikan murid PKBP secara amnya amat rendah dan peningkatan pencapaian adalah perlahan dan minimum. Objektif yang terdapat dalam kurikulumsedia ada pula terlalu tinggi untuk murid PKBPmenguasai kemahiran yang sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.
Oleh itu terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid tersebut. Untuk memenuhi keprluan individu, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas.”

Pendidikan khas di Malaysia bermula pada tahun 1967 di mana Kementerian Pendidikan telah melaksanakan program pemulihan dengan menggunakan strategi “withdrawal system”. Kemudian diteruskan dengan projek percubaan ‘Pendidikan Imbuhan’ bagi tahap satu (Tahun 1 hingga 3) dengan menggunakan strategi di mana guru kelas atau guru subjek sendiri yang menjalankan pemulihan ( PPK,1975). Pendidikan pemulihan diteruskan dengan program Khidmat Guru Pendamping bagi meningkatkan aktiviti pengayaan dan pemulihan dalam aktiviti KBSR pada tahun 1994. Pada tahun 1998. Program Intervensi 3M diperkenalkan. Mulai tahun 2010, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program terbaru bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam menguasai 3M iaitu LINUS (Literasi dan Numerasi 3M).

Pendidikan pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan (National Association For Remedial Evaluation ‘NARE’ Great Britain, 1975). Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira (Panduan Am KBSR,1982). Kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang kebolehan menerima pendidikan biasa (Tansley & Gulliford).

Berdasarkan laporan penyelidikan, menunjukkan antara sepuluh hingga lima belas peratus dalam kalangan murid-murid sekolah masih menghadapi masalah kegagalan menguasai 3M khususnya kemahiran asas pembacaan (Kementerian Pendidikan Malaysia,1999). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui pekelilingnya KP/JPK/BPKP/03/03/1(43) (1998), telah mencadangkan agar semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Negara melaksanakan program Intervensi 3M (membaca, menulis, dan mengira) mulai januari 1999. Keadaan ini menunjukkan betapa seriusnya masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan murid-murid di seluruh Negara (Charlie Anak Unggang,2008)

Masalah pembelajaran dalam matematik

Ramai pendidik percaya yang ramai pelajar yang gagal uttuk menguasai konsep, kemahiran dan strategi penyelesaian masalah dalam matematik (Cawley & Miller,1989; Schid,1990). Mengikut perspektif metakognitif, pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti mempunyai kesukaran dalam a)kebolehan menyelesaikan masalah b)mengenalpasti dan memilih strategi yang sesuai c)menyusun maklumat yang telah dipelajari d)menjalankan proses penyelesaian masalah e) menghuraikan masalah untuk ketepatan dan f) membuat kesimpulan strategi untuk situasi yang sesuai
(Charles-Julkowski,1985 ; Goldman,1989). Metakognitif merujuk kepada pengetahuan pelajar tentang kemahiran, strategi-strategi dan sumber-sumber yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dan kebolehan untuk digunakan semasa menjalankan tugas ( Baker & Broen,1984). Berdasarkan kajian, kesalahan kecuaian pengiraan dan kelemahan dalam mengingat kembali fakta penambahan dan pendaraban dalam semua tahap kebolehan. Algoritma termasuk langkah-langkah yang spesifik untuk menyelesaikan masalah matematik (Roberts,1968).

Majoriti kesalahan yang dilakukan oleh pelajar kerana mereka gagal untuk memahami konsep pendaraban dan bahagi (Cox,1975). Dalam kajian yang dijalankan ke atas 213 pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, majoriti kesalahan yang dilakukan adalah disebabkan kesilapan pada kemahiran terdahulu (prerequisite skills). Kesilapan dalam pendaraban pula disebabkan kurang pengetahuan fakta darab dan kemahiran menambah. Kesilapan yang biasa dilakukan dalam bahagi termasuk kesilapan dalam menolak dan mendarab.(Miller & Milan, 1987)

PKementerian Pelajaran Malaysiarogram di bawah

Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka pelbagai program untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah diperkenalkan semenjak tahun 1960-an bagi memantapkan usaha membantu kira-kira 100,000 murid sekolah rendah dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Pada tahun 1983, apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan, satu usaha telah diwujudkan untuk membantu murid yang tidak dapat menguasai 3M melalui Program Pemulihan Khas. Bagi memastikan sasaran semua murid sekolah rendah yang tidak mempunyai masalah kesihatan menguasai kemahiran 3M akhir Tahap Satu iaitu selepas tamat persekolahan Tahun Tiga itu tercapai, satu garis panduan berkenaan antara lain menekankan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Khas peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah bagi memantau perkembangan pelaksanaannya.

Pengenalan garis panduan itu juga diharap dapat memastikan pelaksanaan program lebih sistematik, sekali gus mengurangkan jumlah murid normal yang masih belum menguasai kemahiran 3M. Selain itu, ia turut membolehkan murid berkeperluan khas iaitu yang mempunyai masalah kesihatan seperti disleksia dan masalah pembelajaran lainnya dikenal pasti sejak awal lagi.

Bermula tahun 2010, Program LINUS telah dilaksanakn bagi menggantikan Program KIA2M (Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis). Program LINUS adalah singkatan dari Literacy & Numeracy Screening di mana Minister Key Performance Indicators (MPKI) KPM telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012. Literasi adalah merujuk kepada kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.

Numerasi pula adalah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian. Program ini akan dilaksanakan bermula pada tahun 2010 (Kohot 1) melibatkan murid-murid di tahun 1 yang akan melalui Saringan 1 (Mac), Saringan 2 (Jun) dan Saringan 3 (September).

Pada dasarnya, kurikulum pendidikan untuk murid berkeperluan khas masih lagi mengalami pelbagai kekurangan iaitu daripada guru terlatih dalam bidang pendidikan khas, kewangan, kemudahan, pakar dan termasuk kurikulum yang sesuai. Di samping itu, belum lagi wujud program intervensi awal yang teratur dan komprehensif bagi membantu kanak-kanak istimewa ini dan juga ibu bapa mereka sebelum mereka masuk ke sekolah.

Justeru, usaha mewujudkan pedidikan khas yang berkualiti disertai dengan pelbagai cabaran-cabaran, antaranya:
1) Penyediaan guru terlatih khusus dalam bidang pendidikan khas murid bermasalah pembelajaran yang mencukupi di semua sekolah.
2) Rancangan pendidikan dan kurikulum yang sesuai dan relevan dengan kanak-kanak berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran mengikut keperluan semasa.
3) Penyediaan kewangan dan peralatan-peralatan yang sesuai dan mencukupi.
4) Penyediaan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang mencukupi seperti ahli psikologi kanak-kanak, audiologi dan pakar terapi pertuturan.
5) Pelaksanaan intervensi awal yang rapi.

Program intervensi


Dalam mengatasi masalah pembelajaran matematik di kalangan murid yang mempunyai masalah pembelajaran, program intervensi hendaklah dijalankan. Program intervensi adalah satu program yang direka khusus bagi membantu mengatasi masalah pembelajaran terhadap murid-murid yang lemah. Bagi menjalankan sesuatu program intervensi, guru matematik hendaklah mengenalpasti murid yang terlibat terlebih dahulu. Murid-murid yang telah dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran, seterusnya akan menduduki pra ujian. Murid akan dinilai melalui pra ujian tersebut kemahiran operasi matematik yang mana mereka lemah.

Murid yang telah dikenal pasti lemah ini akan diberi kelas intervensi dalam satu tempoh tertentu dan kemudiannya akan diberi pascaujian bagi melihat tahap penguasan mereka. Murid yang telah melepasi tahap yang ditetapkan akan ditamatkan kelas intervensi dan akan mengkiut kelas arus perdana. Manakala murid yang masih gagal akan terus mengikuti kelas intervensi tersebut. Ini adalah bertujuan agar murid ini sekurang-kurangnya dapat menguasai operasi asas semasa di sekolah rendah kerana penguasaan operasi asas ini adalah penting bkn sahaja untuk peperiksaan tetapi lebih kepada kehidupan harian.

Sebagai contoh, sebuah sekolah telah mengadaptasikan program daripada Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu PROTIM sebagai satu program intervensi di sekolah tersebut. Namun begitu, pengubahsuaian telah dilakukan agar ia berpadanan dengan situasi sekolah. Mengikut program kementerian, PROTIM dijalankan ujian pra dan pasca dan murid yang gagal pada ujian pra akan di beri kelas intervensi selama hanya satu bulan dan kemudian diberi ujian pacsa. Seterusnya laporan dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri. Seandainya murid masih gagal pada ujian pasca, tiada tindakan susulan yang dibuat oleh kementerian.

Pihak sekolah berpendapat bahawa tidak terdapat keberkesanan pada program PROTIM ini yang mana dirasakan bahawa ia dilaksanakan hanyalah sekadar untuk rekod dan pengutipan data kementerian sahaja. Rentetan itu, pihak sekolah merasakan perlu diadakan program intervensi berterusan bagi menampakkan hasilnya. Maka PROTIM ini diubai suai menjadi program intervensi matematik tahunan sekolah. Murid dikategorikan kepada 2 kumpulan iaitu tahap 1 dan tahap 2. Dua kelas dibuka setiap hari isnin hingga khamis sebaik sahaja sesi persekolahan tamat iaitu pada jam 1.05 – 1.35. Kelas yang pertama terdiri daripada murid tahap 1 (tahun 2, 3) dan tahap 2 (murid tahun 4, 5, 6).

Jadual Kelas intervensi adalah seperti berikut :
Isnin : Operasi penambahan
Selasa : Operasi penolakan
Rabu : Operasi Pendaraban
Khamis : Operasi Bahagi

Kelas ini dijalankan sepanjang tahun bermula bulan Februari hingga Oktober. Dari segi murid, tidak semestinya murid tersebut perlu menghadiri keempat-empat kelas. Ia bergantung kepada tahap kemahiran operasi yang mana mereka lemah. Sebagai contoh, sekiranya murid tersebut terlalu lemah sehinggakan operasi asas penambahan pun tidak boleh dikuasai, murid itu hanya akan menghadiri kelas operasi tambah sahaja sehingga mahir, barulah berpindah ke kelas yang lain. Manakala sekiranya murid tersebut telah menguasai operasi tambah dan tolak, murid tersebut hanya perlu menghadiri kelas darab dan bahagi sahaja. Murid harus menguasai operasi mengikut turutan.

Setelah 2 tahun menjalankan program intervensi ini, hasil yang ketara telah dilihat. Peratus pencapaian murid bagi subjek matematik telah meningkat sebanyak 38.3%. Dengan peningkatan peratus pencapaian ini bermakna peratus murid gagal semakin berkurangan.

Dalam program intervensi ini, terdapat pelbagai teknik pengajaran yang boleh dilakukan namun ianya hendaklah selaras dengan keupayaan murid tersebut selain guru juga haruslah berusaha sedaya upaya untuk mengajar agar murid dapat belajar dan menguasai isi pelajaran dalam sesuatu objektif yang ditentukan.
Selain itu, setiap aktiviti yang dilaksanakan hendaklah menekankan beberapa elemen seperti penglibatan murid, tahap kesediaan murid, penggunaan muzik untuk merangsang dan penyusunan isi pelajaran. Ini adalah kerana penglibatan yang aktif di kalangan murid akan membuatkan kemahiran yang ingin diajarkan akan lebih mudah diingati. Oleh itu, kami mencadangkan beberapa strategi pengajaran dan pembelajaran seperti strategi pemusatan murid dan stategi pemusatan bahan.

Melalui strategi pemusatan murid, murid akan memainkan peranan yang penting dan aktif dalam proses pembelajaran manakala guru hanya akan bertindak sebagai pemudahcara bagi membimbing murid dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Strategi ini boleh dilaksanakan secara individu,berkumpulan,perbincangan, main peranan dan bermain permainan. Interaksi di antara guru dengan murid akan lebih bersifat terbuka dan murid berpeluang untuk menonjolkan sisi kreatif dan berinisiatif yang ada dalam diri mereka. Sebagai contoh, aktiviti TOLAK BANDINGAN yang menggunakan sarang telur, aktiviti PEMBILANG INTERAKTIF,dan MENGIRA JUMLAH yang menggunakan gambar dot yang telah ditunjukkan semasa sesi pembentangan.

Bahan pengajaran yang digunakan juga hendaklah bersesuaian dan kreatif. Ini kerana, dengan adanya bahan-bahan tersebut guru mampu menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah,menarik dan berkesan, manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna dan menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau berkumpulan. Selain daripada itu, penglibatan aktiviti yang bersifat permainan dan penggunaan muzik yang dipercayai dapat merangsang minda murid supaya lebih mudah menerima pengajaran dan pembelajaran yang diajarkan. Menurut Gardner (1991), potensi manusia mempunyai tujuh kecerdasan dalam dirinya, iaitu : kecerdasan-kecerdasan linguistic, logical-matematikal, ruang, muzik, tubuh kinestatik, interpersonal (social) dan intrapersonal (kendiri). Oleh itu, teori pelbagai kecerdasan ini hendaklah diaplikasikan dalam melaksanakan dan membangunkan sesuatu program intervensi . Contohnya, untuk konsep penolakkan iaitu aktiviti 1:TOLAK DIA!, dimana lagu 10 budak hitam dimainkan untuk memperkenalkan konsep tolak. Murid akan diperdengarkan lagu tersebut dan diberi tugasan untuk melakonkan watak 10 budak hitam. Kemudiannya mereka akan menyanyikan lagu tersebut berserta lakonan seperti yang diarahkan. Murid akan lebih mudah untuk menghadirkan minda mereka dalam pengajaran dan pembelajaran apabila elemen muzik turut disertakan.
Selain daripada itu, aktiviti intervensi yang ingin dilaksanakan perlulah mengambilkira pengalaman sedia ada murid. Ini adalah penting untuk mengetahui tahap kesediaan murid untuk terhadap pengajaran dan pembelajaran tersebut. Sekiranya guru mengabaikan tahap kesediaan murid adalah dikhuatiri murid tidak dapat bersama-sama menerokai keseronokan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, di mana ada yang betul dan ada yang salah.

Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang tidak dikehendaki oleh guru. Perancangan aktiviti intervensi ini juga perlu dibuat dengan menekankan penyusunan bahan-bahan pembelajaran bermula dari sesuatu yang bersifat konkrit ke abstrak. Urutan pengajaran dan pembelajaran disusun dari mudah ke lebih kompleks supaya murid dapat mempelajarinya dan seterusnya memberikan respon seperti yang dikehendaki.

John Dewey menguatkan lagi teori ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan.Contohnya untuk intervensi ini, murid tahap 1 biasanya sukar untuk memahami proses penyelesaian masalah. Oleh itu, murid perlulah mahir dalam tambah dan tolak sebelum menyelesaikan masalah. Proses memahami penyelesaaian masalah juga adalah unik kerana perkara ini biasanya perlu dikaitkan dengan situasi dan pengalaman harian murid. Ianya juga merupakan kemuncak dalam program intervensi ini kerana ianya menguji kepintaran berfikir dan kemahiran lain kemahiran fakta asas, menaakul masalah,operasi,menyusun data dan mengaplikasi konsep matematik itu sendiri. Contohnya aktiviti penyelesaian masalah seperti aktiviti 5 : Ceritaku Ceritamu (tambah), dan aktiviti 3 : Penulis Matematik, untuk kedua-dua aktiviti ini bahan dan urutan pembelajaran adalah menarik serta mengikut urutan supaya murid mudah faham dan dan berminat untuk mengikuti proses pembelajaran yang seterusnya.

Penutup
Secara keseluruhannya, program intervensi ini merupakan satu program yang penting yang perlu ada di setiap sekolah bagi membantu murid-murid yang lemah menguasai kemahiran matematik. Ini kerana kemahiran matematik ini bukan sahaja penting untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi ia sangat penting dalam kehidupan seharian. Matematik digunakan setiap hari dalam kehidupan harian dalam apa sahaja aspek. Jika tidak menguasai, murid ini seterusnya tidak akan berjaya dalam apa jua bidang di masa hadapan.

Walaupun pada masa kini, sistem pendidikan kita masih belum rapi dalam menjalankan program intervensi ini, setiap sekolah dan guru haruslah mengambil anisiatif sendiri demi membela dan mendidik mereka semaksimum mungkin. Kerana jika hanya bergantung kepada sistem pendidikan yang sering berubah-ubah ini, maka sudah pasti anak-anak ini akan terus keciciran dan ketinggalan jauh di belakang.
Posted by Syamsina Haryanti at 8:52 AM

Friday, March 19, 2010

ULASAN 'LEARNING OUTCOME 3'

Pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa yang mempunyai masalah pembelajaran bukan sahaja perlu diketahui oleh mereka yang terlibat bersama golongan dengan keperluan khas, malahan juga oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya para guru di sekolah. Ini penting bagi membantu para guru mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menghadapi masalah dalam pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan faktor-faktor tertentu.

Perkara pokok yang menjadi persoalan utama ialah bagaimana sesuatu sesi pembelajaran itu dapat disampaikan dengan berkesan kepada murid istimewa yang mempunyai masalah dyslexia dan dyscalculia ini.

Para guru perlu peka dengan keperluan murid istimewa ini khususnya dalam pemyampaian arahan semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran. Penyampaian para guru perlu jelas dan dirancang dengan teliti supaya sesuai dengan murid ini. Murid ini perlu dibantu agar berasa mudah dan seronok dengan sesi pembelajaran.

Bermula pada tahun 2010, Bahagian Pembangunan Kurikulum berserta dengan beberapa pihak lain telah melaksanakan satu program baru untuk mengatasi masalah pembelajaran di kalangan murid yang bermasalah dalam pembelajaran yang dinamakan LINUS. Program yang dirangka ini adalah diharapkan akan dapat membantu para guru dan sekolah untuk mengatasi masalah pembelajaran. Pengisian aktiviti program ini juga memerlukan penglibatan yang aktif di kalangan murid dalam aktiviti pembelajaran yang bersifat interaktif,'games',multisensory danpelbagai teknik baru P&P. Para guru juga telah diberi kursus khas untuk meningkatkan penyampaian P&P untuk murid bermasalah pembelajaran ini. Adalah diharapkan ianya akan mampu menarik minat dan membantu murid-murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Wednesday, March 17, 2010

ULASAN ARTIKEL ' LEARNING OUTCOME 2 '

Kanak-kanak istimewa juga mempunyai hak untuk mendapatkan peluang kehidupan yang baik dan samarata seperti kanak-kanak normal disisi keluarga,masyarakat dan juga mempunyai keinganan untuk berjaya seperti manusia normal. SIAPA kata anak yang ada masalah pembelajaran tidak berhak dihantar ke sekolah? Siapa kita yang boleh menentukan nasib dan keupayaan seseorang? Memang mereka ini ada banyak halangan dan kekangan tetapi anak istimewa boleh diajar, walaupun perkembangannya sangat perlahan dan mengambil masa panjang. TetaPI amat Yang menyedihkan ialah bila ibu bapa sendiri berputus asa dan menganggap anak mereka tiada harapan. Tidak kira bagaimana teruk pun keadaan anak istimewa ini, mereka sebenarnya boleh belajar — sekurang-kurangnya untuk menguruskan diri sendiri. Tidak kira apa tanggapan orang, ibu bapa harus yakin bahawa anak istimewa juga mampu untuk berjaya.Malah,ada diantara perkembangan anak bermasalah ini lebih baik dan memberangsangkan jika ibu bapa dapat menerima hakikat dan mencari jalan bagi mendidik anak secepat mungkin.

Menjaga anak istimewa dan berkeperluan khas dalam pembelajaran memerlukan kesabaran berlipat ganda kerana mereka mempunyai ‘perangai ekstrem’ tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk. Merekaperlu dididik dengan penuh kasih sayang, sabar dan teliti, tetapi jangan terlalu dimanjakan. Ajar anak perlahan-lahan dan ulang setiap hari. Usah marah atau pukul anak kerana ia memburukkan keadaan dan menghilangkan keyakinan anak.

Anggapan tiada harapanuntuk berjaya perlu dikikis kerana ia melemahkan semangat semua orang, termasuk ibu bapa dan si anak. Bahkan, ini adalah faktor yang menghalang anak berdikari. Apabila anda dapati anak mengalami masalah, segera dapatkan bantuan pakar perubatan untuk pengesahan.

Pakar akan mengesyorkan kaedah sesuai untuk anak anda mengikut tahap mentalnya. Pada masa sama, dapatkan guru pendidikan khas yang boleh membantu anak. Anda boleh menjemput guru ke rumah atau menghantar anak ke pusat pembelajaran khas mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun di pusat pembelajaran khas, anak anda belajar untuk berkawan, berkongsi barangan serta mematuhi arahan.

Dapatkan bantuan pihak lain untuk bersama-sama menjaga anak, sama ada ibu bapa atau pembantu rumah. Bagaimanapun, jangan lepaskan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada mereka. Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan anak mereka boleh berdikaridan berjaya dimasa hadapan.

ULASAN 'LEARNING OUTCOME 1'

Kanak-kanak istimewa sering dikaitkan dengan ketakupayaan pembelajaran. Sebenarnya, ketakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah. Dan ini juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran. Ketakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat. Terdapat beberapa bentuk ketakupayaan pembelajaran iaitu;

Disleksia - ini adalah ketakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar membaca, menulis, dan mengeja dalam cara yang biasa.

ADHD(Attention Deficit and Hyperactivity Disorder) - ini adalah satu gangguan yang menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda. Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas, dan bijak tetapi dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.

Dispraksia - ini satu ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota tubuh.

Diskalkulia - satu jenis ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan matematik, apabila kanak-kanak itu mengalami masalah dalam pengiraan dan hitungan. Walau berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun di tetap sukar memahaminya.

Autisme - ini pula merujuk kepada ketakupayaan kanak-kanak mengalami dunia persekitarannya, sebagaimana yang dialami oleh rakan-rakannya yang normal. Mereka sukar bercakap dan berbual-bual, sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi. Mereka juga bertindak balas dalam cara yang berbeza. Bunyi yang indah mungkin membingitkan telinga mereka. Sentuhan dan belaian yang manja mungkin menjadi sesuatu yang tidak disenangi. Mereka juga tidak dapat mengaitkan sesuatu perkataan dengan maksudnya. Jadi, mereka mungkin mengulang-ulang perkataan-perkataan tertentu, panas baran, dan bertindak balas secara luar biasa

Kebanyakkan dari kanak-kanak istimewa ini sememangnya menghadapi masalah dalam pembelajaran. Dimana mereka selalunya lambat untuk menerima dan memahami sesi pembelajaran.Murid istimewa ini selalunya tidak dapat bergaul dan mengikuti kelas seperti murid yang normal. Mereka ini perlu diberi tahap pemerhatian serta pembelajaran yang lebih istimewa sesuai dengan kemampuan mereka.

Monday, March 8, 2010